Saturday, June 18, 2011

Manfaatkanlah Diri


'Sebaik baik manusia itu, ialah orang yang sentiasa memanfaatkan dirinya untuk manusia lain'.

Tentang ayat ini, aku mula berfikir, aku ingin bahagia, semua orang juga ingin bahagia. Semua ingin hidup ini sentiasa tenang dan ceria walaupun dikelilingi dengan seribu masalah yang memenuhi 'storage' otak. Aku menafsir ayat ini, kita mesti sentiasa  walaupun sedikit untuk menjadi insan yang bermanfaat dan berfaedah kepada orang di sekeliling. Supaya kehadiran diri dirasai, dan ketiadaan diri dirasakan satu kehilangan kepada orang di sekeliling.

Pernah semua terfikir tentang ais yg dapat menyejukkan air didalam gelas? Jika gelas kecil beberapa ketul cukup untuk menyejukkan manakala gelas besar perlu lebih banyak kuantiti utk menyejukkannya. Pernah disuatu restoran aku memesan fresh orange gelas besar untuk menghilangkan dahaga tetapi hanya beberapa ketul ais sahaja yang diletakkan oleh si pembuat air. Memang tak cukup untuk menyejukkan air di dalam gelas besar itu.  

Aku mula terfikir dan merenung ke dalam diri. Mungkinkah aku adalah salah satu dari 3 ketul ais dalam gelas besar ini? Adakah kehadiran aku tak dapat membantu menyejukkan keseluruhan air di dalam gelas. Adakah kehadiran aku di dunia ini tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain di sekeliling. Fuhh~ Jika difikirkan memang terasa beratnya. Adakah selama bertahun hidup didunia adakah sia2 atau bermanfaatkah diri ini?

Aku mahu menjad ketulan yang boleh menyejukkan sejumlah air didalam gelas besar itu. Aku mahu diri bermanfaat buat orang lain. Aku pasti semua orang juga mahu jadi begini. Kalau jadi ais, biarlah ais yg dapat menyejukkan. Kalau menjadi guru, biarlah menjadi gedung ilmu bermanaat pada muridnya dan jika menjadi ibu bapa, biarlah dapat menghasilkan generasi islam yang pastinya dapat menggegar dunia.

Aku mulai terfikir kehidupan selama 26 tahun ini. Berbagai peristiwa bermain di otak fikiran. Peristiwa pahit dan manis tidak dapat lari dari hidup ini. Cuba untuk mengingati apakah selama ini aku benar-benar telah memberi manfaat kepada orang lain??

Aku hanya insan biasa. Kehadiran aku mungkin hanya dirasai oleh orang-orang yang paling hampir iaitu orang dirumah, kawan2 seengajian dan sekolah terdahulu. Jadi, bagaimanakah aku dapat memberi manfaat kepada mereka semua ?Aku bukan 'Orang Besar' yang mempunyai kuasa besar dalam negara ini, bukan pengarah jabatan, bukan CEO syarikat, dan masih belum tersenarai dalam jawatan kerajaan. Kerdilnya diri didalam kerjaya dikalangan manusia. Dan kalau aku menjadi orang-orang yang berpengaruh dan berkuasa seperti di atas sudah tentu aku boleh memberi manfaat kepada orang di sekeliling melalui kuasa yang ada padaku.

Semua orang inginkan 'bahagia' dalam hidup. Tetapi, adakah kebahagiaan itu diukur dengan kebendaan dan wang ringgit ataupun dengan cara lain? Pernahkah kita terfikir, jika kita ingin bahagia, kita perlulah membahagiakan orang lain juga. Bahagikan ibubapa dengan penuhi impian mereka, siapkan kerja di pejabat dan bos merasa gembira, dan sentiasa berhemah dan diplomasi dengan semua lapisan umor  dan kawan2. Jika saya dapat menbahagikan orang lain, bererti kita telah menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.  

Aku rasa mungkin ini ialah salah satu jawapan dari persolan ini. Selain membahagiakan kehidupan orang lain, buatlah kebajikan lain walaupun dengan sekecil kecil perkara seperti menderma 10sen di tabung masjid setiap hari. Mungkin derma yang sedikit dari semua orang akan memberikan kelegaan kepada orang lain yang memerlukan.

Akhir kalam, evaluatelah diri sendiri. Yakinlah semua mainkan watak utama, walaupun jadi pintu atau jadi tingkap yang penting peranan itu dilaksanakan sebaik mungkin. Cuma, kadang-kadang kita berasa bahawa peranan yang kita mainkan tidak cukup kuat untuk megubah sesuatu perkara. Walaupun kita hanya menjadi pintu yang membuka jalan kepada orang lain untuk masuk namun pintu tadi juga berharap suatu hari nanti dia akan dapat memainkan peranan yang lebih besar lagi. 

Fikirkanlah, Sejauh mana kita bermanfaat kepada orang lain? dan sejauh mana kita bermanfaat kepada islam?

Saturday, June 4, 2011

Kaitan Coklat dengan Kehidupan

Aku suka coklat! Aku suka coklat! Anda semua suka coklat? Mesti suka juga kan. Banyak jenis coklat didunia ini. Ada yang 'bitter', 'sweet' dan 'bittersweet'. Ikut citarasa masing masing dalam memilihnya.


Jika difikir apa sebenarnya kaitan antara coklat yg rasanya 'bitter', 'sweet' or 'bittersweet' dengan kehidupan manusia. Kenapa aku kata begitu?  Kerana kehidupan manusia ada pasang surutnya. Kadang2 manis dan Kadang2 pahit. Ada pengalaman manis yang tak dapat dilupakan dan ada juga pengalaman pahit yang perit untuk dikenang. Pengalaman manis sememangnya amat disukai semua orang malahan ramai ingin mengulangnya. Pengalaman pahit pula sukar untuk dilalui dan tidak ramai yang mahu mengulangnya.

Ramai yang gembira, senyum dan bergelak ketawa bila mdapat pengalaman manis. Ramai juga yang berdukacita, gundah gulana, menitiskan air mata malah menangis bila melalui peristiwa yang pahit. Mendapat kekayaan, mendapat anak, mendirikan rumahtangga, berjaya di dalam peperiksaan adalah antara peristiwa manis yang ingin diulang-ulang oleh manusia. Manakala menanggung kesakitan akibat penyakit kronik, ditimpa musibah, ditimpa kemalangan, gagal dalam peperiksaan, kehilangan insan yang disayangi adalah antara pengalaman pahit yang tidak ingin dilalui oleh manusia.

Namun sebagai manusia kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Allah yang tentukan bahawa dunia yang kita jalani ini adalah medan ujian yang harus ditempuhi. Jika difikir-fikirkan, yang pahit itu ujian dan yang manis itu juga ujian. Kita tiada pilihan untuk memilih dilahirkan menerima yang manis sahaja. Dan kita juga tiada pilihan untuk menolak yang pahit ke tepi. Kita tidak boleh memilih untuk lahir dalam keluarga yang senang lenang dan mewah dan kita juga tidak boleh memilih untuk tidak dilahirkan di dalam keluarga yang miskin nestapa.

Jika kehidupan penuh dengan kemanisan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti kita juga akan menerima kepahitan juga. Ramai di antara kita yang memandang bahawa yang manis itu baik manakala ramai di antara kita yang memandang yang pahit itu buruk dan negatif sentiasa. Tetapi ketahuilah, bahawa yang manis itu tidak semestinya baik untuk kita dan yang pahit itu tidak semestinya buruk untuk kita.

Manis dikaitkan dengan rasa lazat dan pahit dikaitkan dengan rasa tidak sedap. Makanan yang manis-manis seperti kek, ais krim dan sebagainya dikaitkan dengan kesedapan dan kelazatan yang ingin dinikmati oleh semua orang. Sebaliknya makanan yang pahit tiada siapa yang sudi untuk menjamahnya. Analoginya manis bagai gula, pahit bagai hempedu. Contohnya makanan yang manis jika dimakan dalam tempoh yang panjang boleh memudaratkan. Makanan yang manis boleh mangakibatkan sakit perut. Makanan yang manis boleh mengakibatkan penyakit kencing manis dalam jangka waktu yang panjang. Ubat yang pahit sukar untuk ditelan tetapi ketahuilah yang pahit itulah yang menjadi penawar kepada kita.Seringkali petua dan saranan pengamal perubatan tradisional untuk mengamalkan memakan akar-akar kayu yang rasanya cukup pahit bagi menjaga dan memulihara kesihatan yang berpanjangan. Inilah perumpamaan mudah untuk menggambarkan contoh kebaikan antara pahit dan manis.
Surah Al-Baqarah: Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu itu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. 
Satu lagi aku terfikir kenapa perkataan “bitter” didahulukan dan selepas itu diikuti dengan perkataan “sweet”? Kenapa tidak ‘sweet’ dahulu dan bitter kemudian? Kerana manis dahulu pahit kemudian rasanya perit. Setiap kesukaran yang dihadapi insyallah akan disusuli dengan satu kemudahan. Permulaan yang sukar akan berakhir dengan pengakhiran yang baik. Mungkin inilah sifirnya. Susah dahulu dan senang kemudian, pahit dahulu dan manis kemudian.

Begitulah kehidupan yang ada pasang surutnya. Jika kita masih beranggapan yang manis itu baik maka hindarkanlah perasaan itu kerana segalanya datang daripada Allah, dia lebih mengetahui apa yang baik dan sesuai untuk kita hambanya. Jika yang pahit itu ditelan dan dilalui dengan penuh keikhlasan dan keredhaan, maka yang manis itu adalah pahala yang menanti kita di hari pembalasan kelak yang berkesudahan dengan syurga.