Saturday, June 4, 2011

Kaitan Coklat dengan Kehidupan

Aku suka coklat! Aku suka coklat! Anda semua suka coklat? Mesti suka juga kan. Banyak jenis coklat didunia ini. Ada yang 'bitter', 'sweet' dan 'bittersweet'. Ikut citarasa masing masing dalam memilihnya.


Jika difikir apa sebenarnya kaitan antara coklat yg rasanya 'bitter', 'sweet' or 'bittersweet' dengan kehidupan manusia. Kenapa aku kata begitu?  Kerana kehidupan manusia ada pasang surutnya. Kadang2 manis dan Kadang2 pahit. Ada pengalaman manis yang tak dapat dilupakan dan ada juga pengalaman pahit yang perit untuk dikenang. Pengalaman manis sememangnya amat disukai semua orang malahan ramai ingin mengulangnya. Pengalaman pahit pula sukar untuk dilalui dan tidak ramai yang mahu mengulangnya.

Ramai yang gembira, senyum dan bergelak ketawa bila mdapat pengalaman manis. Ramai juga yang berdukacita, gundah gulana, menitiskan air mata malah menangis bila melalui peristiwa yang pahit. Mendapat kekayaan, mendapat anak, mendirikan rumahtangga, berjaya di dalam peperiksaan adalah antara peristiwa manis yang ingin diulang-ulang oleh manusia. Manakala menanggung kesakitan akibat penyakit kronik, ditimpa musibah, ditimpa kemalangan, gagal dalam peperiksaan, kehilangan insan yang disayangi adalah antara pengalaman pahit yang tidak ingin dilalui oleh manusia.

Namun sebagai manusia kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Allah yang tentukan bahawa dunia yang kita jalani ini adalah medan ujian yang harus ditempuhi. Jika difikir-fikirkan, yang pahit itu ujian dan yang manis itu juga ujian. Kita tiada pilihan untuk memilih dilahirkan menerima yang manis sahaja. Dan kita juga tiada pilihan untuk menolak yang pahit ke tepi. Kita tidak boleh memilih untuk lahir dalam keluarga yang senang lenang dan mewah dan kita juga tidak boleh memilih untuk tidak dilahirkan di dalam keluarga yang miskin nestapa.

Jika kehidupan penuh dengan kemanisan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti kita juga akan menerima kepahitan juga. Ramai di antara kita yang memandang bahawa yang manis itu baik manakala ramai di antara kita yang memandang yang pahit itu buruk dan negatif sentiasa. Tetapi ketahuilah, bahawa yang manis itu tidak semestinya baik untuk kita dan yang pahit itu tidak semestinya buruk untuk kita.

Manis dikaitkan dengan rasa lazat dan pahit dikaitkan dengan rasa tidak sedap. Makanan yang manis-manis seperti kek, ais krim dan sebagainya dikaitkan dengan kesedapan dan kelazatan yang ingin dinikmati oleh semua orang. Sebaliknya makanan yang pahit tiada siapa yang sudi untuk menjamahnya. Analoginya manis bagai gula, pahit bagai hempedu. Contohnya makanan yang manis jika dimakan dalam tempoh yang panjang boleh memudaratkan. Makanan yang manis boleh mangakibatkan sakit perut. Makanan yang manis boleh mengakibatkan penyakit kencing manis dalam jangka waktu yang panjang. Ubat yang pahit sukar untuk ditelan tetapi ketahuilah yang pahit itulah yang menjadi penawar kepada kita.Seringkali petua dan saranan pengamal perubatan tradisional untuk mengamalkan memakan akar-akar kayu yang rasanya cukup pahit bagi menjaga dan memulihara kesihatan yang berpanjangan. Inilah perumpamaan mudah untuk menggambarkan contoh kebaikan antara pahit dan manis.
Surah Al-Baqarah: Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu itu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. 
Satu lagi aku terfikir kenapa perkataan “bitter” didahulukan dan selepas itu diikuti dengan perkataan “sweet”? Kenapa tidak ‘sweet’ dahulu dan bitter kemudian? Kerana manis dahulu pahit kemudian rasanya perit. Setiap kesukaran yang dihadapi insyallah akan disusuli dengan satu kemudahan. Permulaan yang sukar akan berakhir dengan pengakhiran yang baik. Mungkin inilah sifirnya. Susah dahulu dan senang kemudian, pahit dahulu dan manis kemudian.

Begitulah kehidupan yang ada pasang surutnya. Jika kita masih beranggapan yang manis itu baik maka hindarkanlah perasaan itu kerana segalanya datang daripada Allah, dia lebih mengetahui apa yang baik dan sesuai untuk kita hambanya. Jika yang pahit itu ditelan dan dilalui dengan penuh keikhlasan dan keredhaan, maka yang manis itu adalah pahala yang menanti kita di hari pembalasan kelak yang berkesudahan dengan syurga.

No comments:

Post a Comment